Ternyata Keputusanku Menjalankan Latihan Industri disini Tidak Salah…..
Asalammualaikum, salam perkenalan dari saya yang merupakan pelajar latihan industri ( magang ) dari Biro Hubungan dan Masyarakat (HUMAS), Badan Kepegawaian Negara. Nama saya Nur Yazsmin Fatin binti Ya’acob dan dikenali dengan nama panggilan Yazsmin/Yazs/Min di Humas. Terdahulunya, saya ingin menyatakan bahawa saya merupakan pelajar dari Malaysia. Saya pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi Visual di Universiti Malaysia Kelantan dan menjalankan latihan industri ( magang ) di Humas selama 4 bulan bermula dari 11 September 2017 sehingga 11 Januari 2018.
Tujuan utama saya memilih untuk menjalankan latihan industri ( magang ) di Indonesia adalah kerana saya ingin mencari pengalaman di negara yang saya sudah lama idamkan untuk berkunjung secara sendirian. Keduanya, saya ingin mencari ilmu dan menambah ilmu sedia ada dalam bidang desain grafis.Saya telah diperkenalkan dengan BKN oleh teman saya yang juga merupakan bekas anak magang di Humas sebelumnya iaitu Syarifah Adilla.
Di Humas, saya ditempatkan di bahagian Publikasi dan Dokumentasi bagi membantu pereka grafik menyelesaikan kerja-kerja berkaitan desain grafis. Alhamdullilah Mas Firman ( pereka grafik ) di Humas sangat baik dalam membantu mempermudahkan proses pembelajaran saya dalam bidang desain grafis ini. Beliau sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya dalam menyelesaikan beberapa tugasan yang diberi. Setiap kerja yang diberi dapat diselesaikan dengan baik juga atas bantuan teman-teman kerja di bahagian Publikasi dan Dokumentasi yang lain iaitu Mas Didik, Kak Mia, Pak Rahman, Pak Kiswanto. Terdahulunya, penyelia praktikal saya juga merangkap Ketua di Bahagian Publikasi & Dokumentasi iaitu Pak Lugi juga memberikan kerjasama yang sangat baik dalam membantu saya sepanjang saya berada di bawah seliannya.
Saya datang pada saat yang tepat dimana sedang berlansungnya ‘Test CAT’ di BKN dan ini merupakan pengalaman yang bagus untuk saya mengetahui selok belok cara pemilihan penjawat awam ( PNS ) di Indonesia. Saya juga dapat mengikuti liputan peserta test CAT yang berlansung setiap hari dan secara lansung saya mempelajari untuk memperbaiki komunikasi skills dalam Bahasa Indonesia. Liputan peserta test CAT ini merangkumi dari menemubual peserta-peserta CAT beberapa soalan yang berkaitan terutamanya persediaan dan pengalaman mereka dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi CAT.
Banyak sangat kenangan yang tercipta sepanjang latihan industri ini berlansung dan semuanya tidak akan saya lupakan. Suasana di pejabat yang sangat menyenangkan dengan teman-teman sekerja yang baik dan peramah. Tidak memberi sebarang tekanan kepada saya. Saya merasakan suasana kerja yang seronok dan tidak membosankan. Setiap hari pasti teman-teman sekerja mengusik saya dengan menggunakan bahasa melayu dan ianya sangat lucu apabila mendengar mereka bercakap dalam bahasa Malaysia. Mereka memanggil saya dengan panggilan ‘cikgu’ kerana pengaruh dari cerita ‘Upin Ipin’ dari Malaysia yang agak terkenal di Indonesia.
Saya juga sangat gembira kerana melalui latihan industri ini saya dapat mengenali banyak teman dari pelbagai daerah di Indonesia dan seterusnya saya memperajari bahasa-bahasa khusus daerah mereka. Ternyata walaupun mempunyai perbezaan dari segi bahasa ianya tidak menjadi masalah kerana kami sama-sama saling belajar untuk mempelajari bahasa ibunda negara masing-masing. Manfaat buat teman-teman di Humas kerana mereka juga dapat mempelajari Bahasa Malaysia yang mungkin akan berguna untuk mereka suatu hari nanti apabila mereka berkunjung ke Malaysia. Saya pasti merindui kalian Shelvi, Amalia, Julia, Rizka, Shahlaa, Afni, Siska & Tina yang sentiasa membawa saya untuk menjelajahi makanan-makanan Indonesia yang enak sekitar kantor semasa waktu rehat hehe saya juga pasti akan merindui semua warga humas yang bermacam-macam karenah.
Secara keseluruhannya, saya sangat gembira dan senang dapat menjalankan latihan industri ( magang ) saya di Badan Kepegawaian Negara. Banyak ilmu yang saya telah pelajari hasil dari magang ini sama ada dari segi pengetahuan ilmu berkenaan jurusan saya, pembelajaran bahasa Indonesia dan juga pengalaman berkomunikasi dengan orang berlainan negara. Semua teman-teman di Biro Humas yang terdiri dari Bahagian Protokol, Bahagian Berita dan Bahagian Publikasi & Dokumentasi juga memberi kerjasama yang sangat baik dalam membantu saya menyesuaikan diri di Indonesia.
Akhirnya, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Badan Kepegawaian Negara kerana memberi peluang kepada saya untuk merasai pengalaman magang disini dan memberi peluang kepada saya dalam membantu menyelesaikan tugas-tugasan di Humas.Magang di BKN ini memberikan suatu pengalaman yang indah dalam hidup saya. Salam sayang dari Malaysia.